SEBUAH penyedia perkidmatan aplikasi dari Hong Kong , Corpmart.com Ltd. menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengembangkan perkhidmatannya ke rantau Asia Tenggara dan Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wallace Ng berkata, pihaknya telah menubuhkan pejabat operasi serantaunya di Kuala Lumpur untuk tujuan tersebut, yang juga pejabat pertamanya di luar Hong Kong.

Menurut beliau, pemilihan Malaysia itu dibuat berdasarkan sokongan yang ditunjukkan oleh kerajaan negara ini dalam memajukan industri teknologi maklumat (IT) di samping mempunyai pasaran yang lebih meluas.

“Inilah kelebihan Malaysia. Sokongan kuat dari kerajaan anda. Koridor Raya Multimedia (MSC) dan pasaran yang besar.

“Kami akan jadikan Malaysia pangkalan untuk mengembangkan perkhidmatan kami ke rantau ini dan Asia Selatan,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika berucap pada majlis menandatangi perjanjian antara Corpmart Sdn. Bhd dan Oracle Systems Malaysia Sdn. Bhd. di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil baru-baru ini.

Pada majlis itu, Corpmart Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Kevin Loh Eng Chye manakala Oracle Malaysia oleh Pengarah Urusannya, William Houng-Lee.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Abu San Group Holdings, Datuk Dr. Abu Hassan Ismail.

Perjanjian tersebut bagi membenarkan Oracle membekalkan perisian rumusan Oracle 8i untuk keperluan perkhidmatan penyediaan pelayan Web di corpmart.com.my

Wallace berkata, selain Malaysia, pihaknya juga akan membuka beberapa lagi pejabat operasinya di rantau ini termasuk di Singapura, Thailand dan Filipina.

Kata beliau, pihaknya bercadng untuk membuka sekurang-sekurang satu pejabat operasi untuk mengendalikan perkidmatan pelayan Web itu di setiap negara dalam setiap dua bulan.

Tapak Web Corpmart.com.my menyediakan kemudahan kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) membangunkan laman Web masing-masing menggunakan pelayannya.

Para SME yang berdaftar akan memperolehi faedah dari perkhidmatan nilai tambah seperti dari perkidmatan nilai tambah seperti akaun e-mel tanpa had, name domain, ruang pelayan sebanyak 10 megabit.

Selain itu, tapak Web di URL http://www.corpmart.com.my/ itu juga menyediakan kemudahan intranet korporat dan desktop maya peribadi yang kesemuanya perkhidmatan itu diberikan secara percuma.

Sementara itu dalam sidang akhbar kemudiannya, Kevin berkata, pihaknya melabur sebanyak RM1 juta untuk menyediakan infrastruktur pelayan, perkakasan, pangkalan data serta perisian.

Menurut beliau, pihaknya mensasar untuk menarik kira-kira 45,000 daripada 400,000 SME di Malaysia menyertai tapak Web tersebut dalam tempoh enam bulan hingga lapan bulan akan datang.

“Kami juga bercadang akan menyediakan tapak ini dalam pelbagai bahasa lain termasuk Bahasa Melayu yang akan dimulakan Bahasa Melayu yang akan dimulakan Jun ini. Kini corpmart.com.my disediakan dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin,” katanya

(Source: Utusan Malaysia, 25th May 2000)